Betapa ramai orang yang berilmu dan berbicara tentang ilmu.
Namun terlalu sikit dari kalangan mereka yang beramal dengan ilmu yang dimiliki.
Kita bermohon kepada Allah agar kita tidak tergolong dalam golongan ini.
Mencari dan mendapatkan ilmu itu jauh lebih mudah dari mengaplikasi dan mengamalkannya dalam diri.
Kerana itu kita dapati di sekeliling kita, bahkan lebih dekat dari itu kita perhatikan diri kita sendiri.
Berapa banyakkah ilmu yang kita perolehi hari demi hari yang telah diamalkan?
Jika ada, tahniah ! Jika tiada, muhasabah !
Ramai orang, teruja dan bangga dengan ilmu yang dia miliki.
Bercakapnya penuh hujah, dialognya ilmiah, bicaranya tidak mampu dipatah.
Alhamdulillah, itu suatu kelebihan yang Allah anugerahkan kepada dirinya.
Kita patut bersyukur, bukan semua insan yang mendapat kelebihan yang sama.
Namun, adakah dengan kelebihan ilmu yang kita miliki seiring dengan kesungguhan dalam mengamalkannya?
Anda tahu perkara ini baik, sudahkah anda lakukan?
Anda tahu perkara itu buruk, sudahkah anda tinggalkan?
Dengarkan nasihat ini:
Kata al-Hafiz Ibn Jauzi:
“Berhati-hatilah dari hanya terpaku pada ilmu namun tidak mengamalkannya, ini kerana keadaan yang demikian itu adalah sifat pemalas yang kronik.”
[Shaidul Khathir, Ibn Jauzi]
Kata al-Hafiz Ibn al Qayyim:
“Para Salaf tidak pernah memberi nama fiqh kecuali pada ilmu yang disertakan dengan amal.”
[Miftah Dar as-Sa’adah, Ibn Qayyim]
Bagaimanakah sebahagian orang yang mendabik dada mengatakan ‘aku ahli fiqh’ namun dalam masa yang sama tidak beramal dengan ilmu yang dimiliki?
Bagaimanakah sebahagian orang yang mendabik dada mengatakan ‘aku ahli al-Quran’ namun dalam masa yang sama al-Quran hanya dibaca seminggu sekali?
Bagaimanakah sebahagian orang yang mendabik dada mengatakan ‘aku ahli hadis’ namun dalam masa yang sama perbuatan ibadahnya sendiri menyalahi Sunnah Nabi?
Ya akhi, ini musibah !
Muhasabah diri dengan nasihat ini:
Kata Hasan al-Bashri:
“Sangat menghairankan lisan yang mengajak (kepada kebaikan), jantung hati yang mengetahui (kebaikan), namun perbuatannya menyelisihi keduanya (perkataan dan jantung hatinya).”
[Miftah Dar as-Sa’adah, Ibn Qayyim]
Cuba kita lihat bagaimana hidupnya generasi awal terdahulu.
Bagaimana kesungguhan mereka mengikat ilmu dengan amal.
Kata Hasan al-Basri:
“Seseorang dari kalangan Salaf menuntut ilmu, dan belum beberapa lama sudah dapat dilihat pengaruh ilmu dalam solatnya, kekhusyukannya, perkataannya, serta keperibadiannya.”
[Kitab az Zuhd, Ahmad bin Hanbal]
Inilah generasi yang kita cuba lahirkan, generasi yang berilmu seiring dengan ilmu yang diamalkan.
Ia tidak mustahil, kerana generasi terdahulu telah berjaya membuktikan.
Tidakkah kita pernah dengar, bahawa para sahabat tidak akan meneruskan bacaan al-Quran, melainkan setelah mentadabburinya, ulangkaji, serta aplikasikan ia dalam kehidupan.
Mereka boleh lakukan, kita jangan pula mencari seribu satu alasan.
Ikatlah ilmu dengan amal.
Ulasan
Catat Ulasan