Kerajaan Kelantan menyambut baik kesediaan Kerajaan Pusat untuk nenyokong perlaksanaan hudud di Kelantan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Jamil Khir di Parlimen baru-baru ini. Kami telah lama menunggu kenyataan sebegini dari pemimpin Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Kelantan telah bertekad untuk tetap melaksanakannya dan dalam beberapa tindakan ke arah itu. Sebab itulah kami telah menubuhkan beberapa Jawatankuasa bagi mengkaji kaedah perlaksanaan dan mengatasi halangan.
Alhamdulillah hasil daripada buah fikiran dari berbagai pihak, kita telah dapat mengenal pasti langkah ke arah itu. Dengan ini kita memohon agar parlimen dapat meluluskan undang-undang bagi memberikan kebenaran kepada kerajaan Kelantan melaksanakan hudud. Ianya boleh dibuat mengikut peruntukan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan. Kelulusan ini diperlukan kerana sebahagian besar dari undang-undang hudud adalah terletak di bawah bidang kuasa persekutuan. Begitu juga dengan jabatan-jabatan yang akan terlibat dalam perlaksanaan ini seperti pihak polis dan penjara. Bagi membolehkan Mahkamah Shariah mengadili dan menghukum kes-kes hudud, parlimen juga hendaklah meminda Akta Mahkamah Shariah (Bidangkuasa) dengan meluaskan kuasa menghukum sehingga maksimum denda, penjara dan sebatan. Ini adalah kerana kuasa yang ada kepada Mahkamah Shariah seperti yang ada sekarang ini tidak memungkinkan hudud dapat dilaksanakan. Kuasa untuk meminda akta ini hanya ada Parlimen.
Seterusnya kuasa negeri terhadap agama Islam hendaklah diterjemahkan sebagai sebagai kuasa yang ekslusif yang mana kesemua yang berkaitan dengan ajaran Islam iaitu Islam yang bermaksud syumul hendaklah diletak di bawah negeri. Kerajaan Pusat melalui Parlimen atau Mahkamah sivil tidak ada hak untuk mencampuri urusan perlaksanaan undang2 Islam ini. Kerajaan pusat hendaklah melakukan perkara tersebut bagi membuktikan kesungguhan dan keikhlasan mereka barulah kerajaan Kelantan boleh laksanakannya. Di pihak kerajaan Kelantan pula, kita akan lakukan apa yang perlu di bawah kuasa kita.
InsyaAllah dengan kesungguhan dan keikhlasan kedua belah pihak kita yakin tuntutan agama yang menjadi kewajipan semua pihak ini dapat dilaksanakan. Janganlah kita bertarik tali atau menunggu pihak lain untuk mulakannya. Kami sudah mulakan apa yang kami mampu dan marilah sama-sama kita menyudahi dan menyempurnakannya.
Terima kasih.
Yang Berhormat Dato' Dr Fadzli bin Dato' Hj Hassan,
Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim.
Bertarikh : 31 Mac 2014
Posted via Blogaway
Ulasan
Catat Ulasan