Sulaimi seorang tukang masak di sebuah restoran. Majikannya Cikgu Rosli, seorang penganggur yang tidak mengenali bidang masak mengambil Sulaimi menjadi tukang masak kerana Sulaimi susah mendapat pekerjaan 5 tahun yang lalu.
Gaji dibayar tepat setiap bulan 28hb. Cikgu Rosli memberikan kepercayaan penuh pada Sulaimi untuk menjaga dapur. Maklumlah Cikgu Rosli dah tua, beliau hanya sekali-kala datang ke restoran sahaja.
Satu hari, Cikgu Rosli ingin mengadakan satu jamuan makan untuk 50 orang makan malam dan memberitahu Sulaimi untuk memastikan segalanya ok.
“Cikgu, kami dah ngadu sejak tahun lepas kami tak cukup staff. Jadi sejak tahun lepas, kami dah set, satu malam boleh buat untuk 30 orang sahaja,” kata Sulaimi.
“Cikgu tak tahu betapa penatnya saya, Ros dan Syed setiap hari… banyak perkara yang kami kena buat – beli barang, sediakan bahan dan kemudian masak,” tambah Sulaimi lagi.
Cikgu Rosli yang tidak tahu apa-apa mengenai memasak mempercayai kata-kata Sulaimi, bahawa permintaan beliau untuk jamuan 50 orang susah dilakukan.
“Mi, menu kita masih offer 5 masakan sahaja kan?” tanya Cikgu Rosli.
“4 sahaja, satu dah buang, sebab tak cukup staff… masakan itu susah, dan kami sering tersilap, jadi untuk elak kena marah pelanggan, kami buang saja menu tersebut daripada menu utama… selesai masalah,” kata Sulaimi.
Cikgu Rosli tidak beberapa puas hati dengan jawapan Sulaimi lalu mencari satu tukang masak untuk memantau keadaan di dapur restorannya.
Mizul datang melawat sebagai pelanggan ke restoran Cikgu Rosli untuk melihat karenah Sulaimi dan geng dapurnya.
Mizul membuat order untuk ‘Chicken Chop Special’ dan bertanya pada Sulaimi – “Berapa lama untuk siap?” memandangkan tiada pelanggan lain.
“30 minit,” jawab Sulaimi.
“30 minit – bukan kah semua bahan dah disiap? Cuma perlu grill sahaja,” tanya Mizul…
Lepas itu Cikgu Rosli datang ke restoran, duduk tepi bersama Mizul untuk mendengar penjelasan Sulaimi…
“Tidak… mula-mula kami kena asah pisau, lepas itu potong ayam, lepas itu perap, lepas itu potong sayur, lepas itu grill, lepas itu buat sos… sangat banyak kerja…” jawab Sulaimi depan bosnya.
Mizul terus menerpa, “Dah apa kamu bertiga buat masa petang? Bukanke semua ini perlu disediakan untuk menanti pelanggan yang datang untuk makan malam. Petang 1 jam, dengan kamu bertiga dah sepatutnya siap semua ini … sekarang tinggal grill saja…”
“Saya dah maklum banyak kali kami tak cukup staff… tapi Cikgu tak dengar… dan kadangkala kita dapat pelanggan macam ini yang tak memahami keperitan kita kerja siang malam,” rungut Sulaimi depan Cikgu Rosli.
Mizul menyuruh Cikgu Rosli pergi ke dapur melihat keadaan Ros dan Syed sementara dia berhujah dengan Sulaimi.
“Kamu berdua sahaja yang bekerja…” tanya Cikgu Rosli.
“Bukan. Ros sahaja. Tuan Sulaimi dan Syed sibuk dengan perkara lain, saya sahaja yang urus dapur ini,” kata Ros.
“Ya ke? Dah berapa keadaan ini?” tanya Cikgu Rosli.
“Dah lama. Tuan Sulaimi kata dia kena pergi promosi restoran, Syed pula kata dia sibuk nak buat web untuk promote restoran. Jadi yang masak hanya Ros seorang,” terang Ros.
“Sulaimi kata tak cukup staff, malam hanya dapat tampung 30 pelanggan saja, ini sebabnya? Dah hanya boleh tampung 30 pelanggan, buat apa perlu website dan perlu promosi, mengapa tak fokus kerja yang dibayar gaji ini?” kata Cikgu Rosli.
“Sebab Cikgu Rosli tak tahu bab memasak, jadi Sulaimi mudah pusing sebab Cikgu Rosli percaya. Saya tak berani bersuara kerana takut kehilangan kerja…” tambah Ros lagi.
Cikgu Rosli kembali dengan hati tenang ke meja Mizul dan Sulaimi.
“Mi, mulai hari ini Cikgu nak mula belajar masak. Cikgu akan datang ke dapur tiap-tiap hari – lihat Mi mengajar. Mi jom kita ke dapur masak Chicken Chop untuk Abg Mizul,” kata Cikgu Rosli.
Sulaimi terketar-ketar – masuk aje ke dapur, dia pula menyuruh Ros yang memasak Chicken Chop Special…
“Mi masak. Cikgu nak belajar…” kata Cikgu Rosli dengan tegas.
“Ini bukan bidang tugas ketua dapur,” jawab Sulaimi. “Ros boleh buat.”
“Mi, ingat tak masa dulu, Mi tak ada kerja, Cikgu kesian sebab Mi anak saudara sahabat terbaik Cikgu, jadi Cikgu buka restoran untuk Mi ada kerja dan boleh sara keluarga. Cikgu tak pernah minta apa-apa dari Mi. Yang Cikgu minta Mi balas dengan keikhlasan dan kejujuran… itu sahaja Cikgu minta…” kata Cikgu Rosli.
“Maaf Cikgu. Saya dah tak pandai masak – dah lama tak masak sebab saya sibuk buat kerja dengan syarikat lain. Maafkan saya,” jawab Sulaimi.
“Cikgu tak marah. Tapi Mi kena tanya diri sendiri, sumber gaji yang diterima sini halal tak? Gaji buta halal tak? Ini anak isteri semua makan guna gaji ini? Mi kena mohon maaf pada keluarga kerana menyuapkan mereka dengan rezeki tak halal dan mohon keampunan dari Allah. Cikgu dah tua, tak marah, cuma harap Mi insaf. Kalau Mi tak berminat kerja di sini, maklum Cikgu, sebab Cikgu tak nak Mi makan rezeki tak halal yang tidak perolehi daripada usaha Mi sendiri,” kata Cikgu Rosli…
Wahai anakku,
Kemalasan menyebabkan rezeki kamu tercemar. Kamu tidak tahu kesannya pada mereka yang dibesarkan oleh rezeki sedemikian, namun jangan sesekali kamu anggap ia tidak memberi kesan.
Kerjalah sungguh-sungguh untuk rezeki yang halal dan demi Allah.
Ulasan
Catat Ulasan